
ALOR SETAR: Kedah tidak akan membenarkan sebarang konsert yang akan mencetuskan kelakuan di luar tatasusila.
Menteri Besar Sanusi Md Nor berkata, kejadian muda mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh meransang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.
“Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride, treasure hunt, pertandingan memancing, dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan.
“Semua pegawai daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan ini berkuatkuasa serta merta,” katanya di Facebook.
Semalam, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan anak muda sambil melakukan pelbagai aksi antaranya menari di Balai Seni Alor Setar dan ia mengundang rasa rasa kurang senang memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah Mohd Firdaus Ahmad dalam laporan media semalam dipetik sebagai berkata pihak kerajaan negeri tidak mendapat maklumat terperinci mengenai pengisian festival itu termasuk konsert yang diadakan dan pihaknya akan memanggil penganjur utama festival itu bagi mendapatkan penjelasan.