
KUALA LUMPUR: Menteri PAS tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan menganggap percanggahan pendapat tentang sesuatu hal adalah perkara biasa.
Perkara ini dinyatakan oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad apabila ditanya sama ada partinya menarik sokongan kepada Ismail ekoran tidak bersetuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
“Sokong (Ismail). Bila kami kata tak sokong?” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Idris, yang juga menteri hal ehwal agama, turut menafikan bahawa tindakan tersebut serupa dengan menikam belakang Ismail.
Minggu lepas,12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini.
Ismail hari ini berkata, keabsahan kerajaan pimpinannya tidak terjejas dengan tindakan 12 menteri tersebut.
Hal ini kerana sokongan kepada seseorang perdana menteri tertakluk kepada majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat, bukan anggota Jemaah Menteri, katanya.
Beliau berkata, tidak timbul isu keabsahan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan, sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang “tidak memahami undang-undang” sehingga menimbulkan kekeliruan.
Pada 7 Okt, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyifatkan tindakan itu sebagai sebenarnya turut memberi gambaran sokongan kepada Ismail sebagai perdana menteri semakin goyah dalam kalangan anggota Jemaah Menteri.