
KUALA LUMPUR: Rakyat tidak boleh menyalahkan ketidakupayaan kerajaan untuk menangkap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ini kerana katanya, rakyat perlu faham Malaysia tidak menandatangani perjanjian ekstradisi dengan setiap negara di dunia.
“Kita tidak boleh salahkan kerajaan kerana belum ada perjanjian dengan negara tertentu.
“Saya tidak pasti sama ada kita mempunyai perjanjian dengan China untuk mengekstradisi orang,” katanya di luar acara di sini apabila diminta mengulas spekulasi Low berada di China.
Beliau berkata, ini menghalang pihak berkuasa Malaysia daripada menjalankan tugas mereka dengan berkesan, walaupun tidak mustahil untuk menangkap Low, tetapi ia “tidak mudah”.
Low, yang didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion daripada 1MDB, dipercayai berada di Macau. Beijing menafikan ia melindungi pelarian itu.
Pada 5 Okt lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, Putrajaya tidak perlu menawarkan ganjaran untuk mendapat maklumat mengenai lokasi Low.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Hamzah berkata, polis percaya, buat masa ini, notis merah Interpol lebih baik kerana ia membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa asing dan risikan “lebih tepat”.
Katanya, polis memeriksa kesahihan setiap maklumat yang diterima mengenai lokasi Low dan menyemak dengan pihak berkuasa asing.
Beliau berkata, ini dilakukan melalui saluran antarabangsa sedia ada serta berdasarkan “hubungan dan kerjasama baik” dengan pihak berkuasa di negara terbabit.