
PETALING JAYA: Tiba masanya untuk Deepavali diberi kepentingan sama seperti perayaan utama lain dengan menambah cuti umum dan cuti buat sekolah serta universiti, kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Merujuk aduan pelajar universiti yang perlu menghadiri kelas sehari selepas Deepavali, katanya, tiba masanya kerajaan melayan perayaan penganut Hindu seperti sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina (CNY).
Masing-masing dua hari cuti umum diberikan untuk Aidilfitri dan CNY, tetapi hanya sehari untuk Deepavali. Tambahan, cuti sekolah seminggu juga seiring sambutan Aidilfitri dan CNY.
Tahun ini, pesta cahaya itu jatuh pada Isnin, 24 Okt.
“Kenapa cuti Deepavali hanya sehari? Itulah mesej yang kerap saya terima, kebanyakannya daripada pelajar.
“Isnin cuti dan keesokannya (pelajar) perlu menghadiri kelas semula. Saya cadangkan ia dipanjangkan, sama seperti Aidilfitri dan CNY. Kasihan mereka,” kata bekas menteri belia dan sukan itu di Twitter.
Syed Saddiq berkata, beliau menerima lebih 500 mesej mengenai nasib pelajar Hindu pada Deepavali tahun ini.
Beliau berkongsi tangkap layar mesej yang diterima daripada seorang pelajar universiti awam berhubung kekecewaan kebanyakan pelajar India dengan cuti yang diberikan untuk Deepavali tahun ini.
“Ia hanya untuk sehari dan kami tidak boleh meraikan perayaan kami kerana perlu menghadiri kelas keesokannya. Kebanyakan daripada kami tidak boleh pulang ke rumah untuk melawat dan meraikannya bersama ahli keluarga,” menurut mesej itu.
Seorang warganet membalas ciapan penyandang Parlimen Muar itu dengan berkata, cuti tambahan perlu diberikan apabila perayaan itu jatuh pada Isnin untuk membolehkan pelajar pulang ke universiti mereka.
“Tidak boleh mengharapkan (mereka) pulang pada hari itu juga. Jika seseorang perlu balik dari Pulau Pinang ke Johor, ia akan meletihkan,” kata mereka.
Seorang lagi warganet bernama Eshaan Menon mengucapkan terima kasih kepada presiden Muda kerana mengetengahkan isu itu yang sering disoalnya semasa menjadi pelajar.