
GEORGE TOWN: Kasthuri Patto daripada DAP mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), sambil menegaskan beliau tidak digugurkan daripada kerusi Batu Kawan atau berpindah ke kawasan lain.
Kasthuri, bekas Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal, berkata beliau akan kekal dalam parti dan meneruskan semangatnya memperjuangkan hak asasi manusia, membangkitkan isu-isu berkait wanita dan membasmi perkahwinan bawah umur.
Kasthuri, yang juga anak perempuan mendiang P Patto, orang kuat parti pada 1970-an dan 80-an itu berkata, tidak seperti apa yang disimpulkan orang ramai, beliau membuat keputusan itu selepas berfikir masak-masak.
“Ini adalah keputusan paling sukar yang perlu saya buat dalam hidup saya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
“Saya berundur secara terhormat dan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP dan Malaysia. Saya akan selamanya terhutang budi kepada parti kerana memberi saya platform untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan.
“Kepimpinan parti memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan ini tetapi, selepas berfikir panjang, saya tetap dengan keputusan saya. Saya mendapat sokongan dan restu penuh daripada parti.
“Timbul khabar angin bahawa saya telah digugurkan, tetapi itu tidak berlaku, dan saya berundur atas kerelaan saya sendiri.”
Ketika ditanya sama ada beliau akan berundur dari politik, Kasthuri berkata bahawa “tidak ada perkara seperti itu apabila hati seseorang begitu dekat dengan perjuangan bagi kesaksamaan dan keadilan sosial untuk kumpulan terpinggir”.
“(Ini adalah) semua yang DAP telah perjuangkan selama beberapa dekad yang telah menjadi prinsip parti, dan anda tidak boleh memisahkan diri daripada itu.
“(Tetapi) masa akan menentukan.”
Kasthuri mula menjadi Ahli Parlimen pada 2013 selepas memenangi kerusi Batu Kawan dengan majoriti 25,962 undi. Beliau seterusnya mengekalkan kawasan itu dengan majoriti lebih tinggi iaitu 33,553 undi pada PRU 2018.
Beliau yang ketika ini timbalan setiausaha DAP bagi hal ehwal antarabangsa, dipilih sebagai presiden Parliamentarians for Global Action (PGA) Disember lepas.
Kasthuri, 43, turut menganggotai kumpulan pemandu bagi Panel Antarabangsa Ahli Parlimen untuk Kebebasan Beragama dan Kepercayaan.
Sebelum pembubaran Parlimen, beliau juga menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.