
PETALING JAYA: Seramai 387 individu, kebanyakannya warga Myanmar, ditahan tahun ini kerana cuba memasuki negara secara haram melalui sempadan Malaysia-Thailand di Perlis.
Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata, pihak berkuasa menahan 320 orang warga Myanmar dan 67 warga Thailand antara Januari hingga 18 Okt.
Bilangan ini tujuh kali ganda lebih banyak daripada tangkapan yang dibuat tahun lepas apabila 54 individu, termasuk 32 warga Thailand, ditahan.
Kawasan sempadan di Perlis menjadi tajuk utama berita berikutan penemuan kubur besar di Wang Kelian pada 2015.
“Berdasarkan siasatan kami, mereka datang ke sini tanpa dokumentasi sah untuk mencari pekerjaan dan memilih Malaysia kerana lebih aman,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus memantau sempadan bagi mengelak pencerobohan dan kegiatan jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Diminta mengulas mengenai usaha memastikan insiden Wang Kelian tidak berulang, ketua polis wanita pertama Perlis itu berkata, pihak berkuasa akan meningkatkan risikan mengenai kegiatan pemerdagangan manusia.
Isu keselamatan sempadan timbul berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai insiden Wang Kelian yang dikeluarkan pada Selasa.
Laporan setebal 184 muka surat itu menggariskan kelemahan di sempadan dan siasatan ke atas kejadian itu.
Laporan itu antara lainnya menyatakan bahawa terdapat kawasan yang terdedah kepada orang luar kerana tidak mempunyai sebarang pagar atau tembok.
Laporan itu turut menyebut kekurangan aset untuk pengawasan, termasuk kamera CCTV, dan langkah proaktif dalam kalangan agensi yang mengawal sempadan.
Kamera CCTV di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) kebanyakannya rosak, menurutnya.
Isu-isu ini membuka peluang untuk pencerobohan.
Selain polis, tentera juga terlibat memantau sempadan.
Dalam kejadian pada 2015 itu, mayat 138 pendatang tanpa izin dan 148 kubur ditemui, yang membawa kepada penubuhan RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria tiga tahun kemudian.