
PETALING JAYA: Tugas menyelesaikan baki 5% projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan menyiapkannya sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun depan dilihat sebagai sesuatu yang mencabar bagi pembinanya.
Menteri kerja raya sementara Fadillah Yusof berkata, syarikat konsesinya, EKVE Sdn Bhd, sudah hampir menyelesaikan beberapa kerumitan, termasuk lima saman sivil membabitkan sebidang tanah di Beverly Heights, Ulu Kelang.
Beliau menegaskan bahawa kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam bukan berhubung isu pengambilan tanah.
“Khususnya, terdapat saman berhubung isu tanah bertindih dan pertikaian sempadan antara EKVE Sdn Bhd dan beberapa pihak, termasuk pemilik tanah,” kata Fadillah kepada FMT.
“Disebabkan situasi Covid-19 sejak dua tahun lepas, berlaku kelewatan bagi banyak kes mahkamah, bukan kes ini (isu sempadan tanah) sahaja. Ia juga menghalang penyiapan EKVE.
“Bagaimanapun, pemegang konsesi telah mengemukakan permohonan untuk susun atur reka bentuk baharu tanpa menunggu keputusan mahkamah.”
Sambil mengakui projek EKVE sepanjang 24km dari Sungai Long ke Ukay Perdana itu terlewat daripada jadual, beliau berkata, perbicaraan mahkamah berhubung pertikaian sempadan tanah hanya akan berlangsung antara Ogos dan Oktober tahun depan.
Fadillah turut mengesahkan EKVE akan dibuka secara berperingkat tahun depan.
“Fasa pertama dari Sungai Long, yang dihubungkan dari Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), ke persimpangan bertingkat Ampang akan dibuka pada suku kedua 2023.
“Jalur dari Ampang ke Ukay Perdana, iaitu Fasa 2, dijangka beroperasi pada suku ketiga 2023,” katanya.
Semakan FMT mendapati projek lebuh raya itu berdepan beberapa tindakan undang-undang selama beberapa tahun ini, termasuk penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Difahamkan bahawa JAS bertindak terhadap syarikat itu selepas ia didakwa melanggar Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di tapak pembinaan.
EKVE Sdn Bhd didakwa melanggar Seksyen 34A (7) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 11 Sept 2020, pegawai penguat kuasa JAS mendapati kandungan pepejal dalam larian air permukaan dari tapak tersebut mencatatkan 1,190 miligram seliter, melebihi had yang dibenarkan sebanyak 50 miligram seliter yang ditetapkan dalam syarat kelulusan EIA.
EKVE mengaku bersalah dan dikenakan denda RM75,000 pada Februari.
Pada Mei 2016, pembinaan berhampiran Taman Eko Hutan Ampang dihentikan sementara selepas tiga pertubuhan alam sekitar memohon semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jabatan Perhutanan Selangor menutup taman itu bagi memberi laluan kepada projek.
Dalam permohonan semakan kehakiman, Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Treat Every Environment Special Sdn Bhd, dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia menamakan kerajaan Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan disambung semula beberapa bulan kemudian selepas kumpulan itu menarik balik permohonan mereka.
FMT telah cuba mendapatkan komen daripada EKVE dan syarikat pemegangannya, Ahmad Zaki Resources Bhd.