
PETALING JAYA: Ketua Umno Wilayah Persekutuan Johari Ghani mengingatkan orang ramai supaya menilai prestasi calon sebelum mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Bekas menteri kewangan kedua itu berkata, Malaysia memerlukan pemimpin cekap dan berwibawa untuk mentadbir negara susulan ketidakstabilan ekonomi dihadapi ketika ini.
“Sejak empat tahun lalu, negara berdepan cabaran ekonomi. Hutang semakin meningkat, hasil (untuk negara) tidak berubah, nilai mata wang menyusut dan sumber kewangan kerajaan terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan sempena Deepavali kepada penduduk Kampung Pandan dan Maluri, semalam.
Johari berkata, Malaysia mungkin perlu membuat lebih banyak pinjaman sekiranya ekonomi kekal seperti kini dan ia akan menjejaskan kehidupan rakyat.
Beliau turut mengingatkan keluarga B40 mengutamakan pendidikan anak masing-masing bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Sementara itu, Johari yang pernah menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dari 2013 hingga 2018 berkata beliau tidak pernah mengabaikan penduduk di situ dan terus berkhidmat untuk rakyat walaupun tewas kepada Rina Harun pada 2018.
Rina ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) dan beliau dikatakan akan bertanding di Sepang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai calon Bersatu.
Johari dijangka ditentang Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang mewakili PH manakala Ketua Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula membawa cabaran Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu.