
PETALING JAYA: Sebanyak 14 kes berkaitan penjualan PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diberikan secara percuma kepada mahasiswa oleh kerajaan dikesan di seluruh negara, kata Annuar Musa.
Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, pemantauan sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, peranti itu mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan lokasi ia berada, sama ada di universiti atau lokasi lain.
“Peranti ini ada keupayaan untuk buat ‘tracking’ siapa pemilik yang telah jual dan ada beberapa peranti telah disekat penggunaannya.
“Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal PerantiSiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya.
Beliau berkata, tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar “akujanji” untuk menggunakannya bagi kegunaan sendiri, seperti yang ditandatangani penerima gajet terbabit.
“Perbuatan ini diharap dapat dihentikan segera… saya zahir rasa terkilan dan dukacita, kerana penerima PerantiSiswa menjualnya secara terbuka secara dalam talian…saya fikir ia tindakan tidak wajar.”
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual Samsung Tab A8 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada harga RM900.
Difahamkan, pelajar terbabit mahu menukar gajet itu kepada iPad, tetapi tindakannya dikecam warganet.
Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedia mengkaji pelaksaan “buy back policy” bagi penerima PerantiSiswa yang mahu menjual peranti mereka, jika penerima tidak mahu menggunakannya lagi.
“Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah ‘buy back’ sesuai selepas setahun…saya akan minta kaji kaedah berbanding jual peranti itu dengan harga murah…ia tindakan tidak baik.”
Beliau berkata, pihaknya komited untuk terus mengagihkan peranti itu di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pemohon yang diluluskan segera, meskipun wujud kes penjualan semula peranti terbabit.
“Saya telah letakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 Nov ini. Pengedaran tetap disegerakan dan akan terus berjalan kerana kes-kes penjualan peranti ini adalah kecil.”
Sebanyak 474,311 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima setakat 18 Okt lalu, membabitkan 95,882 permohonan bagi fasa pertama dan 378,429 permohonan untuk fasa kedua.