
PETALING JAYA: Sekumpulan gerakan masyarakat sivil menggesa PKR membenarkan Ahli Parlimen wanita mereka mempertahankan kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)
Dalam satu surat terbuka kepada PKR, kumpulan itu memetik laporan media bahawa Ahli Parlimen wanita parti itu, seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail, Maria Chin Abdullah, Tan Yee Kew dan June Leow Hsiad Hui, mungkin akan digantikan dengan calon lelaki.
Menurut kumpulan itu, penglibatan wanita amat penting dalam politik kerana dapat membuka jalan untuk lebih ramai perwakilan wanita menceburinya.
“Kami mengalu-alukan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa PKR akan meletakkan 30% calon wanita untuk bertanding pada PRU15,” kata mereka.
“Namun kami ingin meluahkan rasa bimbang terhadap satu laporan berita pada 20 Okt lepas yang memetik kenyataan daripada beberapa ahli PKR mengatakan parti itu kemungkinan akan mengurangkan bilangan calon wanitanya, meskipun sudah berjanji sebaliknya.”
Kumpulan itu berkata, Wan Azizah, contohnya, ialah seorang tokoh utama dalam politik Malaysia yang memimpin PKR, gabungan parti pembangkang dan gerakan reformasi menempuh detik mencabar, selain menjadi timbalan perdana menteri wanita pertama dalam sejarah negara.
“Pengalaman dan pandangan beliau tidak ternilai dan tidak sepatutnya diabaikan pada masa yang genting dalam politik Malaysia,” kata mereka.
“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk beliau meninggalkan dunia politik kerana peranannya dalam politik Malaysia tiada tandingnya.”
Tambahnya, Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu akan menjadi “suara penting” ketika negara menghadapi “ibu segala pilihan raya”.
Kumpulan itu turut menyebut rekod prestasi Maria Chin yang telah terbukti.
“Beliau giat memperjuangkan dan menyuarakan isu-isu seperti pembaharuan institusi dan undang-undang, hak asasi manusia, kemiskinan, diskriminasi jantina dan isu wanita,” kata mereka.
Kumpulan itu berkata, golongan wanita kekal kurang diwakili dalam politik walaupun hampir separuh penduduk Malaysia terdiri daripada wanita.
“Hanya terdapat 84 wanita yang berjaya ke Dewan Rakyat sejak penubuhannya pada 1959.
“Parlimen ke-14 menyaksikan hanya 14.86% perwakilan wanita,” kata mereka.
“Kita tidak mahu suara wanita hilang dan keazaman mereka untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian, terpadam dan dilupakan.”
Surat terbuka itu ditandatangani lebih 200 pihak, termasuk gerakan masyarakat sivil, sukarelawan dan aktivis, antaranya G25 Malaysia, Family Frontiers, Sisters in Islam, Marina Mahathir, Irene Xavier, dan Ivy Josiah.