
SEPANG: Usia bukan penghalang buat legenda rali negara, Karamjit Singh untuk sekali lagi melakar sejarah, apabila berjaya merangkul tiga kejuaraan pada pelumbaan di Muara Bungo, Jambi, Indonesia pada Jumaat hingga Ahad lepas.
Pelumba berusia 60 tahun yang dikenali sebagai “Flying Sikh” itu mencipta sensasi dengan Proton Gen2 berusia 16 tahun untuk menggondol 12 trofi dalam tiga kejohanan disertainya, bersama rakan sepasukan yang juga jurumudi, Jagdev Singh.
Juara Rali Asia Pasifik (APRC) 2001 itu berjaya mendominasi APRC 2022 pusingan kelima acara Sprint Rally M3 pada Jumaat lalu, sebelum bergelar johan Kejurnas Rali Indonesia acara “National Rally” pusingan ketiga dan keempat pada Sabtu dan Ahad lepas.
Mengulas pencapaiannya, Karamjit berkata, meskipun menggunakan jentera usang, ia bukanlah penghalang buatnya untuk terus mengharumkan nama negara dengan mengatasi kereta lebih canggih bernilai RM1.5 juta.
“Ini memang saya punya minat, walaupun tiada ‘sponsor’, guna wang sendiri dan kereta usang, tapi masih boleh tewaskan kereta lebih moden.
“Sukan permotoran memang mahal, tapi dengan usaha dan bantuan pencabar lain dari Indonesia, saya mampu capai juga kejayaan ini dan banyak lagi kejayaan saya nak buru,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Karamjit turut menyasarkan untuk menyertai APRC tahun depan menggunakan jentera R5 Proton Iriz.
Beliau sebelum ini menyertai Kejuaraan Rali Indonesia dan pusingan keempat APRC 2022 di Danau Toba, Indonesia, namun tidak menjuarai mana-mana kategori akibat kerosakan jenteranya.