
PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun ini dijangka mengatasi rekod era pandemik dengan statistik dari Januari hingga September menunjukkan peningkatan 52% berbanding tahun lalu.
Statistik polis menunjukkan 4,378 orang maut dalam tempoh itu, 1,055 lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lalu.
Tahun lalu, 4,539 kematian direkodkan manakala 4,634 pada 2020.
Data terkini juga menunjukkan, jumlah pengguna jalan raya cedera parah turut naik mendadak dengan 3,406 kes atau 92.5% lebih daripada tempoh sama tahun lalu.
Jumlah cedera ringan pula merekodkan 21,930 kes iaitu 220.4% pada tempoh sama.
Pengguna motosikal merekod jumlah kematian tertinggi dengan 2,916 atau 66.6%, kereta (776), pejalan kaki (233), lori (139), van (95), kenderaan pacuan empat roda (94), basikal (79), kenderaan lain (29) dan bas (17).
Kematian membabitkan pengguna motosikal tahun lalu mencecah paras tertinggi sepanjang masa yang direkodkan dalam tempoh 21 tahun lalu dengan 68.6% daripada keseluruhan pengguna jalan raya.
Sasaran peningkatan trafik semasa tempoh berkempen dan pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dibimbangi akan memberi kesan kepada jumlah kematian pada 2022 yang boleh mengatasi statistik pada 2019, sebelum pandemik Covid-19.
“Jika kematian jalan raya bagi suku keempat 2022 mencatatkan sekurang-kurangnya 1,790, maka jumlahnya (maut) lebih tinggi daripada tahap pra pandemik,” kata jurucakap Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Zailani Hashim, berkata jumlah kemalangan meningkat sebanyak 147,094.
Bagaimanapun, sekatan perjalanan bagi mengekang Covid-19 dalam tempoh dua tahun lalu mengurangkan trafik.
“Jumlah kemalangan untuk 2022 dijangka meningkat memandangkan lebih ramai membuat perjalanan,” katanya kepada FMT.
“Kami telah berusaha keras untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.”
Zailani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya semasa proses pilihan raya dan peningkatan trafik yang diramal berlaku hujung tahun.