
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memperoleh semula hasil selepas terpaksa menanggung kerugian akibat aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik setelah dua kompaun dikenakan terhadap seorang lelaki warga China yang didapati melakukan kegiatan itu.
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, berkata dua kompaun berjumlah RM630,000 itu melibatkan kompaun maksimum RM500,000 untuk kesalahan melombong REE dan kompaun RM130,000 bagi kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dibayar pada 11 Okt lepas.
“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mengemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya dan mendapat arahan izin kompaun mengikut Seksyen 32(1), 47(1), 50(1), 81(1) (d) dan 81(1) (e) dengan jumlah kompaun RM130,000 kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti yang dilarang dalam HSK.
“Bagi kesalahan melombong REE tanpa kebenaran, pejabat pengarah timbalan pendakwa raya, di bawah peruntukan Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828), mengenakan kompaun kepada lelaki warga China itu dengan kompaun maksimum berjumlah RM500,000,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sanusi menjawab pertanyaan Johari Abdul (PKR-Gurun) yang ingin tahu mengenai isu kecurian unsur nadir bumi di Bukit Enggang.
Katanya, unsur nadir bumi yang dirampas itu dianggarkan bernilai sebanyak RM391,360.91 mengikut nilai pasaran pada 30 Sept lalu dengan anggaran RM35,257.74 setiap tan metrik dan bahan itu telah disita dan akan dilupuskan setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, lelaki warga China bersama seorang pemandu lori yang membawa muatan REE itu telah ditangkap dan direman pada 26 Sept lalu.
Beliau berkata, ujian makmal Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS) yang dibuat Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kedah mendapati ‘sludge cake’ (REE Karbonat) yang dirampas itu mengandungi unsur nadir bumi.
“JPNK telah mengambil tindakan dengan menghentikan aktiviti pengambilan REE secara haram di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan memusnahkan peralatan yang digunakan untuk perlombongan REE,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menafikan adanya penglibatan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dalam sebarang kegiatan penerokaan dan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang berkenaan.
Ini kerana katanya, penerokaan dan perlombongan di kawasan itu belum dimulakan berikutan Kementerian Sumber Asli (KeTSA) belum lagi mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya yang berkaitan aktiviti itu.
“MBI bekerjasama dengan syarikat Prospek Suria sebanyak 15% dan syarikat berkenaan sebanyak 85% diberi satu lot (melombong)…ya, ada kebenaran lesen (permit) menjelajah namun usaha sama itu masih belum berlaku dan tidak ada aktiviti (perlombongan) lagi kerana tunggu SOP.
“…yang curi (REE) dan sudah dituduh mencuri REE itu ialah seorang warga China dan yang bayar kompaun itu bukannya bernama Sobri Osman yang mengetuai MBI, ” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor).