
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga individu empat tahun lepas terlepas hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Tinggi Taiping membatalkan hukuman itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Muniandy Kannyappan bagaimanapun menaikkan denda yang dikenakan terhadap Yee Kar Heng, daripada RM15,000 kepada RM24,000, selepas mendapati dia bersalah atas tuduhan lebih ringan, memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Yee, 44, perlu menjalani hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan sabitan terhadapnya direkodkan dalam lesen memandunya.
Mahkamah Majistret sebelum ini memerintahkan Yee dipenjara tiga tahun dan didenda RM15,000 selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Mahkamah diberitahu, semasa Yee memandu lori dari Sungai Siput ke Kuala Kangsar pada kira-kira 8 malam 14 Sept 2018, dia melencong ke kanan apabila seekor haiwan melintas jalan.
Yee mendakwa kereta mangsa datang dari arah bertentangan dan melanggar bahagian kiri lorinya.
Berdasarkan kenyataan pegawai penyiasat, kereta itu remuk dan diseret kira-kira 50m setelah terperosok di bawah lori berkenaan.
Tiga mangsa yang menaiki kereta itu – pemandu Muhammad Ashraf Hamdan Al-Fikri, 27; Muhammad Irfan Hamdan Al-Fikri, 17; dan Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12 – meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan pemanduan berbahaya di pihak tertuduh mengakibatkan kemalangan itu untuk dia didapati bersalah dan disabitkan hukuman mengikut Seksyen 41(1) Akta,” katanya.
Beliau berkata, penjelasan yang diberikan Yee, terutama mengenai haiwan melintas jalan dan cara kereta itu memecut laju sebelum melanggar lori, wajar dipertimbangkan.
“Jika tidak, mustahil kereta itu terperosok di bawah lori,” katanya.
“Jika ia bergerak pada kelajuan munasabah, nahas ngeri itu tidak akan berlaku. Begitu juga jika lori itu memecut, rempuhan ke atas kereta itu akan menjadi agak berbeza, tetapi yang pasti, tidak menyebabkan kereta itu terperosok di bawahnya.
“Tindakan melencong oleh tertuduh hanya mengukuhkan kewaspadaannya di jalan raya, mengikut rekod prestasinya yang menunjukkan selama 17 tahun dia memandu lori, dia tidak terlibat dalam sebarang kemalangan mahupun disaman atas kesalahan lalu lintas, ” katanya.
Muniandy turut menyifatkan keterangan saksi-saksi pendakwaan sebagai “meragukan”.
Katanya, keyakinan saksi bahawa lori itu dipandu oleh tertuduh secara berbahaya, menyebabkan kemalangan, “tidak masuk akal”.
Keterangan saksi juga berbunyi sama, kata Muniandy, “seolah-olah mereka berlatih sebelum datang ke mahkamah”.
Beliau berkata, keterangan sebegitu sepatutnya diambil kira oleh majistret dengan berhati-hati pada awalnya.
Yee diwakili peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin manakala pendakwaan dijalankan oleh Waffy Ismail dari Pejabat Peguam Negara di Taiping.