
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Johari Abdul Ghani, menyeru pemimpin parti yang tidak berpuas hati tentang sesuatu isu supaya menanganinya secara dalaman, dan bukannnya melompat parti.
Beliau menyifatkan tindakan beberapa pemimpin Umno yang bertanding bawah bendera parti lain selepas tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional sebagai ‘tidak sihat’ untuk demokrasi.
“Jika ada faktor tertentu yang tidak sesuai dengan jiwa kita, perlu betulkan secara dalaman. Jangan bila tidak jadi calon, baru nak betulkan…kemudian lompat sana lompat sini,” katanya lapor Berita Harian.
Johari, yang bertanding di Parlimen Titiwangsa pada PRU15 ini berkata, ahli BN harus terus bersama gabungan itu sama ada menjadi calon atau tidak.
“Bila kita ‘subscribe’ ideologi BN, kita perlu kekal,” katanya, sambil mengingatkan bahawa beliau masih ahli Umno meskipun tewas pada PRU14.
Bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan bekas Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional.
Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin, pula mempertahankan DUN Titi Tinggi sebagai calon bebas.
Presiden Umno, Zahid Hamidi berkata ahli yang bertanding pilihan raya sebagai calon parti lain atau bebas terlucut keahlian secara automatik.
Johari berkata tindakan mereka itu tidak memberi kesan kepada Umno.
“Rakyat bijak memilih,” katanya.