
KUBANG PASU: Seorang calon Pejuang menganggap sayang apabila ketua parti Dr Mahathir Mohamad tidak cukup masa untuk menyatukan saingan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
Amiruddin Hamzah yang mempertahankan kerusinya di Kubang Pasu dalam pilihan raya Sabtu ini mendakwa partinya berhasrat menyatukan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) melawan BN.
“Namun masa tidak memihak kepada kami kerana Parlimen dibubarkan. Kami menyangka PRU15 diadakan tahun depan,” katanya.
“Selepas ini, jika kami berjaya menghalang mereka (BN) membentuk kerajaan, mereka yang mempunyai kerusi mencukupi boleh berbincang dan harap-harap mampu membentuk gabungan.”
Menurut laporan sebelum ini, Mahathir terbuka untuk bekerjasama dengan PH dan PN bagi melawan BN, namun kedua-dua gabungan itu menolak cadangan berkenaan.
Sementara itu, Amiruddin berkata beliau mengharapkan rekod prestasinya yang baik di kawasan itu mampu membantunya mengekalkan kerusinya. Katanya, antara pencapaiannya termasuk memastikan projek mitigasi banjir Sungai Bata dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Amiruddin yakin usaha Pejuang melawan rasuah, dan mempromosikan tadbir urus baik, mampu meraih sokongan pengundi Melayu.
Menurutnya, berbeza dengan bekas sekutu mereka dalam Bersatu, janji Pejuang lebih bermakna kerana parti itu tidak akan mengkhianati mandat rakyat dan menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton, sekalipun ini mengakibatkannya terkeluar daripada kerajaan.
“Mereka (Bersatu) menang atas mandat itu (pada PRU14) kemudian mengetepikan prinsip mereka untuk berpakat dengan kleptokrat demi membentuk kerajaan,” katanya.
Amiruddin mempertahankan Kubang Pasu daripada Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN), Hamsuni Hassan (BN), dan Aizuddin Ariffin (PH).