
PETALING JAYA: Barisan Nasional menang empat kerusi Parlimen dengan tiga daripadanya di Johor, dan dipercayai sedang mendahului di enam kerusi lain.
Menurut pengumuman rasmi setakat ini, BN menang di Simpang Renggam, Pengerang, dan Kota Tinggi, masing-masing dimenangi bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad; bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said; dan bekas menteri pengajian tinggi, Khaled Nordin.
Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, juga berjaya mempertahankan Parit Sulong.
Di Sabah, BN menang di Parlimen Beaufort menerusi Siti Aminah Aching yang menewaskan lima pencabar.
Menurut kumpulan komunikasi BN, gabungan itu sedang mendahului di Tapah dan Rembau, di mana Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bertanding.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan BN dalam keputusan tidak rasmi mengekalkan Tenggara, Pontian dan Sembrong (kawasan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein bertanding mempertahankan kerusi).
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berjaya mengekalkan Ayer Hitam.