
KUALA LUMPUR: Seramai 32 calon wanita daripada 127 orang yang bertanding di kerusi Parlimen berjaya mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Untuk DUN, seramai 15 daripada 60 lagi calon yang bertanding di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah berjaya memenangi kerusi masing-masing, lapor Bernama.
Calon-calon wanita yang menang di kerusi Parlimen termasuk 16 calon Pakatan Harapan (PH), lima daripada Gerakan Parti Sarawak (GPS), tujuh calon Perikatan Nasional (PN), tiga Barisan Nasional (BN) dan satu daripada Warisan.
Sementara itu, tujuh orang calon PH, lima calon PN dan tiga calon BN bertanding untuk kerusi DUN.
Antara calon PH yang memenangi kerusi yang ditandingi termasuk bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Ismail di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 9,817 undi, selain Teo Nie Ching (Parlimen Kulai), Teresa Kok Sim (Parlimen Seputeh) dan Hannah Yeoh (Parlimen Segambut).
Sementara itu, dua calon wanita GPS, bekas menteri pelancongan, seni dan budaya Nancy Shukri yang bertanding di kerusi Parlimen Santubong memperoleh undi majoriti sebanyak 19,485 selain Rubiah Wang yang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan.
Calon muka baharu, Rodiyah Sapiee turut memberi kemenangan buat GPS di Parlimen Batang Sadong selepas menewaskan wakil PH, Cikgu Lahaji dengan majoriti 14,893 undi.
Dalam pada itu, calon BN di Parlimen Parit Sulong, bekas menteri pengajian tinggi Noraini Ahmad menang dengan majoriti 11,474 undi, selepas memperoleh 25,740 undi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Azalina Othman Said juga kekal memegang Parlimen Pengerang apabila berjaya meraih sebanyak 21,738 undi, manakala Siti Aminah Aching memenangi kerusi Parlimen Beaufort.
Bagi PN, calonnya di Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 atas tiket BN itu dengan majoriti 4,411, selepas memperoleh 25,604 undi, menewaskan calon BN Abdul Hakim Abdul Wahid.
Ketua Wirawati Warisan Isnaraissah Munirah Majilis menjadi calon tunggal wanita yang memenangi kerusi Warisan di Parlimen Kota Belud dengan majoriti 4,582 undi.
Bagaimanapun, Nurul Izzah tewas di kubu kuat PH, iaitu Parlimen Permatang Pauh, kepada calon PN Muhammad Fawwaz Mat Jan, yang menang dengan majoriti 5,272.
Penyandang Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin turut gagal mempertahankan kerusinya apabila hanya meraih 4,589 undi dalam pertembungan sembilan penjuru.
Jumlah calon wanita pada PRU kali ini menurun kepada 187 orang, daripada 251 orang pada PRU14.
Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), manakala satu kerusi untuk PBM dan dua calon bebas.