
KUCHING: Sarawak berharap kerajaan persekutuan baharu bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan untuk memberi kuasa autonomi kepada negeri itu dalam isu berkaitan pendidikan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ia aspirasi semua rakyat Sarawak.
“Kuasa autonomi yang akan diberikan itu hendaklah termasuk perkara dasar dan pelaksanaan. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan akan terus menyediakan pembiayaan yang diperlukan,” katanya dalam ucapan penggulungan bajet negeri 2023 di DUN Sarawak hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dalam hal pendidikan walaupun ia berada bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Ini terbukti melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk meningkatkan pelaksanaan pembangunan fizikal sekolah dan program pembangunan profesional secara berterusan kepada warga pendidik, katanya.
Pada 26 Nov, selepas pertemuan dengan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg, Anwar berkata, hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak pastinya akan lebih erat dan diperkukuh bawah kerajaan perpaduan.
Dalam perkembangan lain, Sagah berkata, pada masa ini tiada kekurangan guru yang kritikal di Sarawak, namun masih terdapat isu mengenai penempatan guru berikutan pengkhususan mata pelajaran dan hal berkaitan keluarga.
“Sudah menjadi dasar membenarkan pasangan mengajar di lokasi yang sama; kita tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas,” katanya.
“Kita juga telah mencapai nisbah 90:10 guru Sarawak dengan guru bukan dari Sarawak. Kita harus berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha mencapai nisbah seperti yang diidamkan oleh semua rakyat Sarawak,” katanya.