
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang optimis dapat menyambung rundingan dengan Perak berhubung skim bekalan air mentah berdasarkan kajian terbaru oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari memberitahu FMT, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menolak Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) berdasarkan maklum balas agensi seperti Lembaga Air Perak, Tenaga Nasional Berhad serta Jabatan Saliran dan Pengairan.
Maklum balas agensi itu menunjukkan Sungai Perak tidak mempunyai bekalan air mentah mencukupi untuk kedua-dua negeri.
“Bagaimanapun, ketika itu, laporan Sungai Perak yang dibuat Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) belum dimuktamadkan.
“Berdasarkan laporan Kasa, yang sudah dimuktamadkan sekarang, terdapat sumber air mencukupi untuk Pulau Pinang dan Perak. Atas sebab itu, kerajaan Pulau Pinang percaya kita boleh memulakan rundingan berdasarkan penemuan terbaru itu,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Saarani hari ini berkata, Perak kekal dengan keputusannya tidak membekalkan air mentah kepada Pulau Pinang, walaupun ia kini diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau dipetik Harian Metro sebagai berkata, keputusan menolak SPRWTS yang dicadangkan Pulau Pinang bukan kerana politik, tetapi disebabkan bekalan air mentah hanya cukup untuk kegunaan domestik Perak.
Saarani sebelum ini juga berkata, Perak tidak bersetuju meneruskan skim bekalan air mentah itu kerana negeri itu memerlukan bekalan air dari sungai bagi kegunaan sendiri kerana ia sedang membangunkan industrinya.
Mac lalu, Saarani memohon maaf kepada penduduk Pulau Pinang, selepas kerajaan Perak memutuskan tidak menjual air kepada negeri itu kerana mereka perlu menjamin bekalan air di negeri itu.
Pulau Pinang mencadangkan saluran paip bagi menyalurkan air mentah dari Sungai Perak pada 2009, tetapi Putrajaya tidak meneruskan rancangan itu. Projek infrastruktur bekalan air utama biasanya terletak di bawah bidang kuasa persekutuan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini mengulangi gesaan supaya Putrajaya mempercepatkan skim bekalan air mentah itu selepas bekalan air di negeri berkenaan terjejas akibat banjir di Baling, Kedah.