Menteri baharu perlu sokongan, galakan, kata Zaliha

Menteri baharu perlu sokongan, galakan, kata Zaliha

Menteri kesihatan itu dan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ialah Ahli Parlimen penggal pertama serta dilantik sebagai menteri dalam Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, lantikan menteri kali pertama perlu diraikan dan disokong supaya dapat melaksanakan tugas dengan baik (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri kesihatan yang baharu dilantik, Dr Zaliha Mustafa menyifatkan lantikan ‘menteri kali pertama’ ke dalam barisan Jemaah Menteri harus diraikan.

Zaliha yang juga Ahli Parlimen penggal pertama berkata, lantikan itu perlu mendapat sokongan dan galakan supaya mereka dapat laksanakan tugas dengan baik.

“Apabila diberi tanggungjawab kena laksanakan yang terbaik. Kalau perdana menteri beri keyakinan, beliau dah lihat pelbagai sudut, seperti pencapaian kita sebelum ini. Beliau nak nampak mereka dilantik kali pertama ini mereka yang boleh beri sokongan kerajaan perpaduan.

“Jadi kalau tengok betul-betul, ia (Jemaah Menteri) ada orang lama dan orang baru. Memang jadi cabaran dan ia harus diambil dalam konteks yang baik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden PKR Tian Chua yang menzahirkan kebimbangan bahawa kebanyakan daripada lapan menteri yang dinamakan Anwar daripada partinya ialah muka baharu.

Selain Anwar dan Rafizi Ramli, enam lagi anggota Jemaah Menteri daripada PKR terdiri daripada Zaliha, Saifuddin Nasution Ismail (menteri dalam negeri), Fadhlina Sidek (menteri pendidikan), Chang Lih Kang (menteri sains dan teknologi), Nik Nazmi Nik Ahmad (menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim) dan Fahmi Fadzil (menteri komunikasi digital).

Zaliha dan Fadhlina ialah Ahli Parlimen penggal pertama.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata meskipun baru pertama kali memenangi Parlimen, namun beliau mempunyai pelbagai pengalaman antaranya sebagai setiausaha politik kepada Wan Azizah Wan Ismail dan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR.

“Itu pengalaman yang kita ambil dan saya juga adalah doktor perubatan. Saya ada kawan-kawan dalam perkhidmatan… ada pengarah dalam hospital, jadi ia ada proses belajar dan dia juga tengok jaringan hubungan kita,” katanya.

Jemaah Menteri semasa terdiri daripada 15 orang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR, DAP, Amanah dan Upko; enam orang daripada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno; lima daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi PBB, PRS dan PDP; serta seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Bersatu Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.