Pengukuhan ringgit dapat kurangkan kos import makanan, kata Mat Sabu

Pengukuhan ringgit dapat kurangkan kos import makanan, kata Mat Sabu

Presiden Amanah berkata trend pengukuhan ringgit dapat dilihat selepas PRU15 dan berharap situasi itu berterusan.

Mohamad Sabu (tiga dari kiri) bersama Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar (kiri), Pengerusi BN Kedah, Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) dan ADUN Gurun Johari Abdul (kanan) memberi sokongan kepada calon PH di pilihan raya Padang Serai, Sofee Razak, malam tadi. (Gambar Bernama)
KULIM:
Presiden Amanah Mohamad Sabu berharap nilai mata wang ringgit terus mengukuh sekali gus dapat mengurangkan kos import bahan makanan.

Beliau yang baharu dilantik sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata trend pengukuhan ringgit dapat dilihat selepas PRU15 dan berharap situasi itu berterusan.

“Dengan pertukaran kerajaan dan pelantikan perdana menteri (Anwar Ibrahim), keyakinan mula berlaku sehingga mata wang kita menaik begitu mendadak dan kita harap ia dapat bertahan dan lebih baik pada masa akan datang.

“Nilai import kita akan lebih murah jika mata wang kita semakin kukuh, itulah harapan kita dan kenaikan ini memang satu perkara yang menakjubkan dalam masa 10 hari selepas pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Katanya, walaupun baru-baru ini nilai ringgit berada pada hampir RM4.80 dan diunjur merosot kepada RM5 pada bulan ini berbanding dolar Amerika Syarikat, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila ia mengukuh kepada kira-kira RM4.40 ketika ini.

Mengulas mengenai pengumuman senarai Jemaah Menteri, Mohamad berkata perdana menteri telah menunaikan janjinya untuk membentuk saiz Jemaah Menteri kecil membabitkan 28 menteri di bawah pentadbirannya.

Menurut beliau berdasarkan saiz Jemaah Menteri itu kerajaan perlu melakukan tugas yang lebih besar dan berat kerana bilangan menteri yang lebih sedikit berbanding sebelum ini.

Ditanya sama ada Amanah berpuas hati dengan bilangan pemimpin parti itu yang dilantik ke dalam Jemaah Menteri, beliau berkata pengumuman semalam hanya membabitkan senarai menteri dan akan disusuli dengan jawatan timbalan menteri selepas ini.

Terdahulu beliau menghadiri ceramah PRU15 Padang Serai yang turut disertai Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah, Jamil Khir Baharom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.