Kita perlu pengalaman Anwar hadapi cabaran ekonomi, kata Nik Nazmi

Kita perlu pengalaman Anwar hadapi cabaran ekonomi, kata Nik Nazmi

Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim itu mempertahankan keputusan perdana menteri memegang portfolio kewangan.

Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) dan Naib Pengerusi PKR Johor, Maszlee Malik di majlis pelancaran buku ‘Anak Malaysia: Sebuah Perjalanan Politik Progresif’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Shah Alam.
SHAH ALAM:
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan keputusan Anwar Ibrahim memegang portfolio kewangan ekoran cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

“Ada dua sebab. Ini bukan Kabinet Pakatan Harapan (PH), ini Kabinet kerajaan perpaduan, banyak pertimbangan yang perlu dibuat.

“Kedua, soal cabaran ekonomi. Kita perlukan pengalaman perdana menteri mengemudi soal kewangan,” katanya selepas pelancaran buku “Anak Malaysia: Sebuah Perjalanan Politik Progresif” sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor di sini.

Beliau mengulas kritikan terhadap perdana menteri yang turut menjadi menteri kewangan.

PH dalam manifesto pilihan raya umum 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan lain secara serentak, selepas Najib Razak memegang dua jawatan penting itu. Tiada perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan selepas Najib.

Anwar pernah menjadi timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998 dan menteri kewangan dari 1991 hingga 1998.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR berkata, ketika pemerintahan Najib, keadaan berbeza kerana Barisan Nasional mempunyai kerusi majoriti menyebabkan pelantikan ke jawatan lain mudah.

“Ini kerajaan perpaduan, banyak perkara yang perlu diambil kira. Jadi, dalam keadaan itu nak tarik rambut dalam tepung, beberapa keputusan harus dibuat…dalam konteks ekonomi dan konteks politik yang luar biasa. Maknanya, ini bukan kerajaan yang dapat majoriti (kerusi).

“Jadi, itu beberapa perkara yang kita kena faham (berkaitan) pelantikan yang kita buat sekarang.”

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi yang akan memulakan tugasnya esok berkata, antara perkara yang akan dibawa adalah isu banjir, guna tenaga, perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar.

Katanya, beliau akan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi dan mempertimbangkan keutamaan yang perlu dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.