Tak dilantik dalam Jemaah Menteri, Kula minta rakyat lihat gambaran lebih besar

Tak dilantik dalam Jemaah Menteri, Kula minta rakyat lihat gambaran lebih besar

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, Jemaah Menteri inilah yang mendapat sokongan semua parti komponen PH.

M Kulasegaran menyeru agar rakyat menyokong rakan separtinya, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar, yang dilantik menjadi menteri sumber manusia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
M Kulasegaran daripada DAP menggesa rakyat Malaysia untuk terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, susulan pengumuman barisan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu mengakui kebimbangan dan persoalan ramai orang tentang mengapa beliau dikecualikan daripada Jemaah Menteri.

“Saya menggesa mereka untuk melihat gambaran lebih besar. Inilah Jemaah Menteri yang kita perlukan pada masa ini.

“Jemaah Menteri inilah yang mendapat sokongan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru agar rakyat menyokong rakan separtinya, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar, yang dilantik menjadi menteri sumber manusia.

Jawatan tersebut dipegang Kulasegaran semasa pentadbiran PH terdahulu, dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

“Sivakumar mempunyai pengalaman politik yang luas dan keupayaan untuk memacu kementerian ke hadapan. Jika perlu, seluruh pasukan kami dan saya sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

“Kita kembali berada di landasan yang betul,” katanya.

Jumaat lepas, Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menteri bagi kerajaan perpaduan pimpinannya, yang terdiri daripada 28 anggota.

Mereka terdiri daripada 15 orang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR, DAP, Amanah dan Upko; enam orang daripada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno; lima daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi PBB, PRS dan PDP; seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Bersatu Sabah, dan seorang lagi yang tidak mewakili mana-mana parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.