Peruntukan Akta SPRM untuk dokumen perbicaraan berperlembagaan, mahkamah diberitahu

Peruntukan Akta SPRM untuk dokumen perbicaraan berperlembagaan, mahkamah diberitahu

Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata demikian semasa mengemukakan permohonan untuk menerima rakaman audio perbualan bekas perdana menteri itu dengan seorang pemimpin UAE.

Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata, Seksyen 41A Akta SPRM tidak mencabuli hak Najib Razak. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, peruntukan untuk penerimaan dokumen perbicaraan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperlembagaan kerana ia digubal bagi membasmi amalan rasuah.

Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata demikian semasa mengemukakan permohonan untuk menerima satu rakaman audio perbualan bekas perdana menteri itu dengan seorang pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perbicaraan itu.

Pihak pendakwaan berkata, rakaman itu penting dalam menolak pembelaan Najib bahawa wang yang dimasukkan ke akaun banknya adalah derma.

Pasukan pendakwaan berpandukan Seksyen 41A Akta SPRM untuk menerima rakaman itu sebagai bukti.

Sri Ram memberitahu mahkamah, Akta Keterangan mengenakan syarat ketat untuk penerimaan rakaman itu.

“Membawa individu rasuah ke muka pengadilan mengikut peraturan ketat (di bawah Akta Keterangan) mungkin menjadi halangan yang tidak dapat diatasi, terutama ketika ini di mana transaksi berjuta-juta boleh dilakukan secara elektronik dalam sekelip mata atau di mana-mana, seperti di sini, jutaan wang tunai diserahkan secara rahsia,” katanya.

Beliau turut menafikan Seksyen 41A mencabuli hak Najib untuk perbicaraan adil kerana peruntukan itu digunakan pihak pendakwaan ke atas semua individu yang didakwa mengikut Akta SPRM.

Peguam Najib, Tania Scivetti memberitahu mahkamah, seorang lagi peguam Najib, Shafee Abdullah akan menjawab hujah pendakwa raya esok.

Sebelum ini, Shafee berkata, kesahihan rakaman itu diragui kerana tiada siapa tahu sama ada ia dirakam mengikut undang-undang.

Katanya, walaupun beberapa peruntukan di bawah Akta SPRM membenarkan pihak berkuasa menerima dokumen atau bahan yang mereka perolehi dalam mana-mana perbicaraan, peruntukan itu tidak berperlembagaan.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didepositkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pada Januari 2020, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya mendedahkan sembilan rakaman audio dalam sidang media yang dikaitkan dengan SRC International dan 1MDB.

Rakaman itu membabitkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad dan individu lain.

Perbicaraan bersambung di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dengan bekas pegawai Ambank, Joanna Yu dijadualkan memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.