Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkait keluarga Zeti, Jho Low

Mahkamah tolak permohonan Najib dapatkan dokumen berkait keluarga Zeti, Jho Low

Hakim Nordin Hassan berkata dokumen itu tidak relevan dengan tuduhan dihadapi bekas perdana menteri dalam perbicaraan 1MDB.

Najib Razak berdepan 25 tuduhan berkait rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan wang 1MDB.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berhubung syarikat dikawal oleh keluarga bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Hakim Nordin Hassan berkata, dokumen itu tidak relevan dengan tuduhan dihadapi bekas perdana menteri dalam perbicaraan jenayah 1MDB yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

“Tiada kesilapan yang boleh dirayu (dibuat) oleh hakim Mahkamah Tinggi untuk mewajarkan campur tangan oleh mahkamah ini,” kata Nordin.

Beliau juga berkata, Najib tidak berhak mendapatkan keterangan saksi yang ditemu bual polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan berhubung perkara itu.

“Perayu tidak boleh mendapat akses kepada keterangan kerana wujud bahaya sebenar ubah pinda. Ini sama seperti menyerahkan kertas siasatan kepada tertuduh (yang tidak boleh dibenarkan),” katanya.

Nordin, yang menyampaikan penghakiman sebulat suara mahkamah, berkata terpulang kepada pendakwaan siapa yang mahu dipanggilnya sebagai saksi untuk membuktikan kesnya.

“Jika mereka mengambil risiko untuk tidak memanggil saksi material, inferens buruk akan dibuat dan tuduhan terhadap tertuduh boleh gagal,” katanya.

Beliau berkata, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah turut menggunakan budi bicaranya dengan tepat mengikut undang-undang untuk menolak permohonan Najib memaksa pihak pendakwaan memanggil saksi tertentu.

Berkenaan mendapatkan telefon bimbit dan kata laluan bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, Nordin berkata, pihak pendakwaan tidak memilikinya. Dalam keadaan itu, katanya, mahkamah tidak akan bertindak secara sia-sia.

Dalam prosiding dalam talian pada 25 Okt, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaluddin Said mendengar rayuan Najib dan menetapkan bahawa keputusan akan disampaikan hari ini.

Hakim lain dalam panel itu ialah Ahmad Nasfy Yasin.

Najib, 69, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuan dikemukakan untuk memaksa pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan mereka menerima wang daripada Jho Low.

Najib juga mahu pihak pendakwaan menyediakan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, Acme Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keluarga Jho Low dan keluarga Zeti.

Bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu juga memfailkan permohonan lain untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Kumpulan Goldman Sachs yang dimeterai pada 2020, dan transkrip laporan forensik atas telefon Leissner.

Sementara itu, pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan mahu memanggil tujuh lagi saksi, termasuk Zeti, untuk memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB sebelum menutup kesnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.