Selesai siasatan terhadap hakim Nazlan, Puad beritahu kerajaan

Selesai siasatan terhadap hakim Nazlan, Puad beritahu kerajaan

Ahli MKT Umno itu tidak mahu kes membabitkan hakim mahkamah rayuan itu 'disenyapkan' begitu sahaja.

Puad Zarkashi berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘sudah lama’ melengkapkan siasatan, justeru kerajaan baharu perlu menyelesaikan kes itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mahu kerajaan baharu menyelesaikan kes siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali.

Dalam hantaran di Facebook, Puad berkata, kes itu tidak boleh “senyap” begitu sahaja.

“Kes hakim Nazlan tidak boleh senyap begitu sahaja. Kerajaan baru mesti selesaikan kes ini,” katanya sambil menambah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengeluarkan kenyataan siasatan ‘sudah lama’ selesai.

Pada September, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata siasatan terhadap Nazlan telah selesai, namun butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

Azam berkata, beliau tidak mempunyai kuasa mendedahkan perkara itu tanpa arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

Nazlan yang menjadi hakim perbicaraan SRC International Najib Razak di Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas perdana menteri itu bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) membawa kepada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, permohonan Najib untuk mempersoalkan Nazlan atas alasan konflik berkepentingan ketika mendengar kesnya ditolak. Najib gagal dalam rayuan akhirnya dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pada 22 Apr lalu, SPRM berkata, agensi itu membuka siasatan terhadap Nazlan susulan laporan mengenai wang lebih RM1 juta miliknya yang didakwa tidak dapat dijelaskan.

Nazlan kemudian membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan sambil menyatakan ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat”, selain menyerang kredibilitinya sebagai hakim.

Pada Mei, SPRM berkata, agensi itu sudah melengkapkan siasatan membabitkan Nazlan. Bagaimanapun, awal bulan ini, Azam berkata, kertas siasatan sudah dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan susulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.