
Kaedah itu didedahkan Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, yang mengumumkan penahanan dua kakitangan jabatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang didakwa bersubahat dengan sindiket menyeludup PATI yang disenarai hitam.
Menurut kenyataan, mereka ditahan dalam satu operasi pada 9 Dis lepas, berdasarkan risikan dan maklumat awam. Turut ditahan ejen yang mengurus kemasukan dan beberapa PATI.
“Ejen akan mengatur kemasukan PATI yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk kepada PATI tersebut dengan upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap PATI.
“PATI kemudian dijemput ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah. Kemasukan PATI itu juga tidak direkodkan dalam sistem imigresen oleh pegawai tersebut,” katanya.
Dua pegawai terlibat direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.