
Beliau berkata, dengan kerjasama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), beberapa kawasan yang jumlah taburan hujan tinggi dan dijangka berlaku banjir akan diberi tumpuan.
“Kesiapsiagaan yang dilakukan termasuklah menggunakan acuan baharu, di mana ramalan oleh MetMalaysia ini akan dijadikan panduan bagi mengaktifkan PPS bagi mangsa sebelum berlaku banjir di kawasan berkenaan.
“Ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting. Ini adalah langkah baharu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurut Zahid, MetMalaysia meramalkan tiga kawasan utama bakal mengalami taburan hujan tinggi bermula 17 Dis ini, iaitu timur Semenanjung yang meliputi Kelantan dan Terengganu, pantai timur Sabah dan pantai barat Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan mengarahkan semua agensi persekutuan yang terbabit dalam pengurusan banjir menyantuni semua kerajaan negeri tanpa mengira negeri itu diperintah pihak mana.
“Ini bagi menyelesaikan masalah rakyat, bukan menyelesaikan masalah politik.
“Saya mengambil pendekatan ini dan pada hemah saya, inilah juga yang dipegang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk rakyat beliau buta warna, untuk rakyat beliau akan melakukan kesaksamaan dan keadilan demi kepentingan negara keseluruhannya.”
Katanya, kerajaan juga memberi komitmen meneruskan sebarang bantuan kepada mangsa banjir yang sudah menerima bantuan daripada pentadbiran dahulu.