Sediakan ‘infrastruktur jagaan’ untuk wanita kembali bekerja, kerajaan diberitahu

Sediakan ‘infrastruktur jagaan’ untuk wanita kembali bekerja, kerajaan diberitahu

Profesor Universiti Malaya, T Shanthi berkata, terdapat kekosongan jawatan mencukupi, tetapi wanita terikat dengan tugas menjaga anak dan orang tua.

Ramai wanita tidak dapat bekerja kerana komitmen mereka di rumah. (Gambar Fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang profesor pengajian gender di Universiti Malaya meminta kerajaan melabur dalam infrastruktur penjagaan untuk meningkatkan kadar wanita diambil bekerja.

Infrastruktur penjagaan merujuk sumber dan perkhidmatan yang diperlukan untuk membantu keluarga memenuhi keperluan penjagaan mereka. Ini termasuk pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas.

T Shanthi berkata, ekonomi dan pasaran buruh mempunyai kekosongan jawatan mencukupi, tetapi wanita terikat dengan tugas jagaan tanpa gaji mereka.

“Sekiranya kerajaan memberi kepentingan sama rata kepada infrastruktur penjagaan, ia akan meningkatkan kadar boleh diambil kerja dan mengurangkan kadar pengangguran,” katanya ketika menjadi panel Forum Wanita dan Gadis Malaysia 2022.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada infrastruktur seperti projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) untuk meningkatkan kesalinghubungan, tetapi infrastruktur penjagaan dipinggirkan.

“ECRL antara perkara dibangkitkan ketika kerajaan perpaduan dibentuk dan ini penting. Tetapi, apa yang dilakukan untuk melibatkan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja?” soalnya.

Untuk membuat perubahan, Shanthi berkata, penggubal dasar perlu mengiktiraf kepentingan kesaksamaan jantina sebelum boleh merangka infrastruktur penjagaan.

Seorang lagi ahli panel yang juga Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang senada dengan Shanthi berkata, pengiktirafan oleh ahli politik mengenai isu itu adalah langkah pertama ke arah yang betul.

“Peruntukan mencukupi diperlukan untuk menyediakan infrastruktur itu kepada wanita,” katanya.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, cadangan pengecualian cukai pendapatan dari 2023 hingga 2028 untuk wanita kembali bekerja selepas “cuti kerjaya” menunjukkan kurang pemahaman kerajaan terhadap sebab wanita perlu berada di rumah.

Katanya, wanita tidak bekerja kerana kekurangan penjagaan kanak-kanak atau sokongan orang tua di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.