‘Harimau santai bawah rumah’, senator gesa keselamatan Orang Asli diambil serius

‘Harimau santai bawah rumah’, senator gesa keselamatan Orang Asli diambil serius

Senator Ajis Sitin gesa kerajaan sediakan peruntukan khusus untuk lindung penempatan Orang Asli daripada haiwan liar dan mengambil tindakan wajar.

Ajis Sitin mahu kerajaan beri perhatian dalam Belanjawan 2023 demi keselamatan Orang Asli daripada serangan binatang liar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang senator menggesa kerajaan mengambil serius keselamatan Orang Asli, dengan menyediakan peruntukan khusus untuk melindung penempatan daripada haiwan liar dan melaksanakan tindakan wajar.

Ajis Sitin berkata isu itu harus diberi perhatian dalam Belanjawan 2023, lebih-lebih lagi apabila masyarakat digemparkan dengan kejadian seorang wanita maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru di Pos Betau, Lipis, Pahang pada 6 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, Wak Angkat Yong Tong, 39, meninggal dunia selepas dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri ketika rumahnya dirempuh haiwan berkenaan.

Menurut Ajis, isu penempatan Orang Asli dimasuki binatang liar seperti gajah dan harimau berulang kali dibangkitkan kepada pihak berwajib.

“Sekarang ini ada penempatan Orang Asli, harimau itu macam anjing sahaja duduk bawah rumah,” katanya kepada FMT.

Bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli ini berkata pihak berkuasa harus mengenalpasti kawasan haiwan liar yang berhampiran penempatan Orang Asli, serta membina pagar dan benteng bagi mengelak kemasukan binatang.

“Mana-mana kawasan berisiko berlaku konflik manusia dan binatang dibina pagar supaya terkawal,” katanya, yang tidak menolak kemungkinan haiwan memasuki penempatan manusia disebabkan banyak hutan diteroka bagi tujuan pembangunan.

Ajis turut menggesa pihak berwajib memindahkan gajah berhampiran penempatan ke kawasan khas yang jauh.

“Saya pernah bangkitkan perkara ini di Dewan Negara sidang yang lalu, tetapi tidak mendapat tindakan sewajarnya daripada kementerian terlibat,” katanya.

Beliau mendakwa pada Ahad lalu sekumpulan gajah memasuki Kampung Chenglek di Pos Perwor, Sungai Siput, Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.