‘Saya cari di semua hospital dia tiada’, bapa yakin menantu masih hidup

‘Saya cari di semua hospital dia tiada’, bapa yakin menantu masih hidup

Choo,60, masih tidak berputus asa mencari menantu yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm.

Bapa mangsa kejadian tanah runtuh, Choo, 60, yang ditemui pemberita di luar perkarangan Hospital Sungai Buloh malam ini.
SUNGAI BULOH:
“Saya cari dia di semua hospital tapi tak jumpa,” demikian luahan seorang bapa mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali.

Hanya mahu dikenali sebagai Choo, dia berkata anak lelaki serta menantunya menyertai aktiviti perkhemahan tersebut.

Katanya, anak lelakinya yang berusia 31 tahun ditemui selamat dan sedang dirawat ke Hospital Selayang, manakala menantu masih hilang.

Masih tidak mengetahui status menantunya namun ada saksi yang memaklumkan melihat mangsa menaiki ambulans tetapi tidak dapat dipastikan sama ada itu benar-benar menantunya atau tidak.

“Ada orang nampak anak (menantu) sudah naik ambulans dari tempat kejadian tapi tak tahu ditempatkan di mana sebab itu saya ke Hospital Kuala Kubu Baru, Selayang, cari di sini (Hospital Sungai Buloh) pun tidak jumpa,” katanya ketika ditemui di pintu keluar jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Choo, 60, yang berasal dari Kepong, berkata dia kesal dan sedih kerana sudah menunggu lama tetapi perkhabaran berkenaan menantunya masih belum dapat dipastikan.

Pun begitu, Choo berkata, dia tidak berputus asa dan akan meneruskan pencarian dan terus berharap anaknya berada dalam keadaan selamat.

“Saya risau belum jumpa dari pagi sampai sekarang, Saya harap dia selamat,” kata Choo yang memaklumkan dia mendapat panggilan berhubung kejadian pada jam 8 pagi tadi.

Anak saudara 7 tahun maut 

Sementara itu, seorang waris yang hanya mahu dikenali sebagai Loh berkata, dia masih lagi terkejut dan seakan tidak percaya dengan kejadian yang menimpa keluarga adik lelakinya.

Menurut Loh, anak saudara elakinya berusia tujuh tahun disahkan antara yang maut dalam kejadian tanah runtuh pagi tadi, manakala ibu bapa cedera dan dirawat di Hospital Selayang.

“Saya memang terkejut dan macam tak percaya bila dapat panggilan mengenai kejadian,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Sungai Buloh bagi proses pengecaman mayat.

Awal pagi tadi, berpuluh mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan River Hilltop, Farmview and River Side berdekatan Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali.

Bomba Selangor memaklumkan ketinggian runtuhan dianggarkan 30m dengan anggaran keluasan runtuhan tiga ekar.

Difahamkan, hampir 100 mangsa berada di lokasi ketika tanah runtuh berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.