Pejuang terima peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi

Pejuang terima peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi

Presiden Mukhriz Mahathir berkata Mahathir Mohamad akan terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan Malaysia sebagai seorang negarawan.

Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981 sehingga 2003 di bawah panji BN dan kembali ke puncak pentadbiran negara pada 2018.
PETALING JAYA:
Pejuang menerima keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan sebagai pengerusi, namun bekas perdana menteri itu kekal sebagai ahlinya.

Dalam satu kenyataan, Presidennya Mukhriz Mahathir berkata Mahathir akan terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan Malaysia sebagai seorang negarawan.

“Itulah diharapkan semua penyokong termasuk seluruh warga Pejuang selama ini,” katanya yang turut menyatakan parti itu akan meneruskan perjuangan, legasi dan semangat Mahathir.

Mahathir menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981 sehingga 2003 di bawah panji Barisan Nasional (BN) dan kembali ke puncak pentadbiran negara pada 2018.

Ketika itu beliau menganggotai Pakatan Harapan (PH). Namun pentadbirannya hanya bertahan selama 22 bulan susulan kejatuhan kerajaan menerusi ‘Langkah Sheraton’

Peristiwa itu menyaksikan beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan PKR bergabung tenaga dengan BN dan PAS untuk menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Mahathir kemudiannya menubuhkan Pejuang pada 2020 selepas meninggalkan Bersatu.

Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum 19 Nov lalu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Suhaimi Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.