
PETALING JAYA: Malaysia semakin menuju ke arah digitalisasi lebih pesat di seluruh negara, namun jurang antara kawasan bandar dan luar bandar masih ketara.
Teknologi 5G mungkin sudah bertapak di kawasan seperti Lembah Klang, yang menjanjikan akses lebih pantas bagi perniagaan. Namun kebanyakan perniagaan kecil dikenali sebagai “mom-and-pop” khususnya di Pantai Timur masih beroperasi menggunakan model lama yang diamalkan sejak berdekad lalu.
Farhan Khairul Anuar berjaya menghidu peluang yang wujud dalam kekurangan ini. Pada Mei 2021 beliau melancarkan Products2U, sebuah syarikat permulaan bertujuan merapatkan jurang antara ekonomi bandar serta luar bandar, dengan menghubungkan kedai-kedai “mom-and-pop” ini ke ekonomi digital.
“Objektifnya untuk memberikan masyarakat luar talian yang kurang mendapat perkhidmatan, akses lebih mudah terhadap produk dan perkhidmatan yang selama ini sukar diperoleh mereka,” katanya kepada FMT Business.
Farhan yang juga CEO Products2U berkata, beliau membayangkan untuk menghubungkan dua pemegang taruh – iaitu pembekal produk yang merangkumi pengeluar dan pemborong di satu pihak, dengan pengedar melibatkan peniaga seperti kedai “mom-and-pop”.
“Kami menemui mereka secara peribadi dari pintu ke pintu. Kami mempunyai 50 pekerja yang dikerahkan di seluruh negara untuk melakukannya,” katanya.
“Kami menunjukkan peniaga kecil-kecilan ini bagaimana mereka mampu meraih manfaat daripada menggunakan aplikasi P2U kami, bagaimana mereka dapat menjual produk yang belum ada stok sekalipun, dan perkhidmatan yang sebelum ini tidak mampu ditawarkan mereka,” katanya.
Sebagai contoh, Farhan memetik kes Mak Cik Kiah yang menjual barangan runcit di kedainya di sebuah kampung di Terengganu.

“Kebanyakan pelanggan Mak Cik Kiah tiada akses internet, jadi mereka tidak boleh melakukan pembelian dalam talian. Bagaimanapun, dengan P2U, Mak Cik Kiah sendiri boleh membuat pembelian untuk mereka dengan memesan barangan yang tiada di kedainya bagi pihak pembelinya,” katanya.
Products2U kini memberi perkhidmatan kepada lebih 1,500 perniagaan, dari pasar mini dan kedai runcit sehinggalah warung, gerai tepi jalan, dan ejen penjual semula. “Kami kini mempunyai kira-kira 1,200 pengguna aktif,” katanya.
Aplikasi P2U membolehkan perniagaan memperluas aneka produk dan perkhidmatan ditawarkan kepada masyarakat setempat. Selain kepelbagaian produk, mereka turut menawarkan perkhidmatan seperti pembayaran bil utiliti, permohonan pinjaman digital, kad permainan prabayar, insurans perubatan mampu milik, dan kemudahan penghantaran produk.
Farhan berkata, kedai “mom-and-pop” yang menawarkan produk dan perkhidmatan menerusi P2U dibayar komisen 25% hingga 30% bagi setiap penjualan. Mereka turut diberikan bahan pemasaran percuma.
Ia juga mudah digunakan, dengan peniaga hanya perlu memuat turun aplikasi berkenaan dan mendaftar untuk mula menggunakannya.
Sebaik diluluskan, peniaga dapat menjual produk dan perkhidmatan yang disenaraikan di aplikasi itu, selain melakukan transaksi bagi pihak masyarakat mereka.
Peniaga juga boleh menjejak transaksi dan memeriksa keuntungan mereka di aplikasi itu.
Farhan berkata, Products2U melihat pertumbuhan pendapatan ketara antara 7% hingga 10% bulan ke bulan sejak dilancarkan.
“Ini baru permulaan. Banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk golongan masyarakat luar talian yang terabai,” katanya.
Farhan berkata, pasaran ini bernilai USD100 bilion (RM426 bilion), tetapi transaksi dalam talian hanya merangkumi USD20 bilion (RM85.3 bilion).
“Potensinya besar dan kami mahu mencungkilnya. Banyak produk yang belum sampai dalam pasaran terabai, dan disebabkan itulah kami mengorak langkah memulakannya,” katanya.
Ketua Pegawai Teknologi Faez Ridzal Hasnan berkata, Products2U telah menghubungi FMT Media Sdn Bhd ketika mahu meluaskan sayapnya, dan teruja apabila syarikat media itu menawarkan pelaburan.
Firma perakaunan Nexia dan kumpulan modal usaha niaga Winacore Capital juga antara pelabur lain, malah Faez berkata ramai lagi yang bakal menyertai.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang P2U https://products2u.my/.