Perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew bersambung esok

Perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew bersambung esok

Setakat ini tiga saksi termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong telah dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim pada 18 Feb lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun di Tenom.
KOTA KINABALU:
Perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terkenal Ebit Lew akan bersambung mulai esok hingga 22 Dis ini di Mahkamah Majistret Tenom.

Setakat ini, seramai tiga orang saksi termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong telah dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan mereka di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Ketiga-tiga mereka hadir ke mahkamah dalam perbicaraan yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 27 hingga 30 Sep lalu.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim pada 18 Feb lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun di Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Nur Asyraf sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas kesemua pertuduhan berkenaan.

Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.