Kerajaan perpaduan akan gabung manifesto, kata Rafizi

Kerajaan perpaduan akan gabung manifesto, kata Rafizi

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali akan menubuhkan jawatan bagi menyokong inisiatif Jemaah Menteri itu.

Rafizi Ramli berkata, jawatankuasa itu akan berpandukan 18 komitmen yang disenarai di bawah memorandum persefahaman dimeterai semua pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan memilih dan menggabungkan beberapa janji dibuat gabungan dan parti berbeza yang membentuk kerajaan perpaduan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, Jemaah Menteri menugaskan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi tujuan itu.

“Kami adalah gabungan parti dengan latar belakang berbeza, dasar berbeza dan masing-masing sebenarnya mempunyai manifesto sendiri menjelang PRU15.

“Tetapi, sekarang kita berada dalam kerajaan (bersama), untuk kita menggabungkan semua manifesto dengan cepat, ada kekangan masa.

“Di peringkat Jemaah Menteri, ada sebuah jawatankuasa yang sedang berusaha memilih, kemudian menggabungkan semua program khusus daripada setiap manifesto gabungan,” katanya selepas sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini.

Beliau berkata, rundingan pemilihan program itu akan berpandukan 18 komitmen ditetapkan di bawah Fasal 2 perjanjian persefahaman permuafakatan yang ditandatangani pemimpin kerajaan perpaduan pada Jumaat lalu.

Ini termasuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, menyediakan peluang ekonomi adil kepada golongan miskin tanpa mengira latar belakang, serta melindungi kebebasan untuk berhimpun, kebebasan bersuara dan meningkatkan pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan itu ditanya mengapa perjanjian berkenaan tidak menggariskan pembaharuan khusus berbanding memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan pentadbiran terdahulu pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada kerajaan baharu akan memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, Rafizi berkata, ia adalah persoalan buat Kementerian Kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.