
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban meningkat kepada 25 orang.
Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Saya sahkan penemuan mayat kanak-kanak perempuan tersebut,” katanya ringkas kepada Bernama malam ini.
Suffian memaklumkan maklumat lanjut mengenai penemuan mayat itu akan diberikan dalam sidang media esok pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat hari kelima ditangguhkan pada 12 tengah malam ini dan akan bersambung semula 8 pagi esok.
Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 25 mangsa korban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.
Terdahulu, operasi SAR yang memasuki hari kelima dipergiatkan dengan jumlah anggota pasukan “sweeper” ditambah empat kali ganda kepada 28 orang, berbanding hanya tujuh orang semalam, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Anggota penyelamat masih bersemangat dan tidak berputus asa meneruskan operasi SAR, walaupun tiga pegawai dan anggota menerima rawatan kerana kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor dipetik Bernama berkata, ada di antara anggota penyelamat enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan mangsa masih hilang, walaupun dibenarkan berehat.
Komitmen ditunjukkan anggota SAR mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan penghargaan kepada mereka.