8 mangsa tanah runtuh dibenar keluar hospital

8 mangsa tanah runtuh dibenar keluar hospital

NADMA berkata mereka telah menerima rawatan di Hospital Selayang, Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Kuala Lumpur.

Tragedi tanah runtuh Jumaat lalu setakat ini menyaksikan 25 kematian manakala 61 terselamat dan lapan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.
PETALING JAYA:
Semua lapan mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali yang menerima rawatan di hospital telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dalam satu kenyataan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, lapan mangsa berusia antara 13 hingga 44 tahun itu dibenarkan pulang sejak Jumaat hingga semalam.

Katanya, mereka menerima rawatan di Hospital Selayang, Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Kuala Lumpur.

“Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 25 mangsa korban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

Terdahulu, polis memaklumkan mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh pada jam 11.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban meningkat kepada 25 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.