Ahli Parlimen cadang waktu sidang mula 2 petang

Ahli Parlimen cadang waktu sidang mula 2 petang

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata cadangan dikemukakan kepadanya itu untuk mentransformasi perjalanan sidang Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk melihat kepada cadangan yang dikemukakan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen mengemukakan cadangan antaranya memulakan waktu mesyuarat persidangan Dewan Rakyat pada 2 petang berbanding 10 pagi yang diamalkan sekarang.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata cadangan dikemukakan kepadanya itu untuk mentransformasi perjalanan sidang Parlimen bagi membolehkan Jemaah Menteri menjalankan urusan pentadbiran masing-masing sebelum hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

Cadangan lain yang turut diterima adalah untuk menambah hari persidangan kepada 100 hingga 110 hari, selain melonggarkan etika pemakaian di dalam Dewan Rakyat seperti tidak perlu memakai tali leher, katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa akan dibentuk untuk melihat kepada cadangan yang dikemukakan.

“Insya-Allah sidang pertama penggal ini (Parlimen ke-15) akan berlaku (diadakan) pada Februari,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen.

Johari yang merupakan bekas ADUN Gurun dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Azhar Harun Isnin lalu.

Usul pelantikan speaker Dewan Rakyat baharu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang pada 10 pagi.

Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan mewakili kerajaan, mendapat 147 undi berbanding bekas menteri dalam negeri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.