
Rais dalam kenyataan berkata tindakan ini bagi memberi gambaran secara kolektif bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab kepada Parlimen.
“Hal ini belum pernah disebut lagi tetapi penting bagi dewan tertinggi ini mencatatkannya sebagai satu tanggungjawab,” ujarnya dalam teks ucapan sempena pembukaan mesyuarat pertama Dewan Negara.
Menurut beliau, kehadiran para menteri akan direkodkan oleh Setiausaha Dewan Negara berselaras dengan Perkara 43(3) Perlembagaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bekas-bekas senator Dewan Negara yang sudah menjadi menteri dan timbalan menteri agar tidak melupakan dewan tersebut.
“Begitulah mulianya Dewan Negara ini. Sentiasa menjadi batu loncatan naik ke atas.
“Boleh saya tambah dengan menyatakan – enjit-enjit semut, siapa bernasib baik naik ke atas.” kata Rais.
Menurut beliau, 17 ahli Dewan Negara sebelum ini meletakkan jawatan untuk bertanding PRU lalu.
Tambahnya, hari ini enam orang lantikan baharu dibuat, melibatkan empat menteri dan dua timbalan menteri.