
Pada 2021, menteri pengangkutan ketika itu Wee Ka Siong berkata projek terbabit akan menelan belanja RM50.27 bilion berikutan perubahan pada penjajarannya.
Pada sidang media Anwar berkata, terdapat “sedikit penambahan” dalam kos berikutan keperluan untuk menambah pembiayaan bagi penjajaran semula projek itu.
Bagaimanapun, katanya kos baharu projek itu masih rendah berbanding asal seperti dilaporkan pada 2016.
“Keputusan kita untuk meneruskan projek yang diluluskan dulu tapi tidak membawa banyak lagi perubahan kerana akan melambatkan proses pelaksanaan dan menyulitkan kerja serta rundingan sedia ada.
“Saya ucap tahniah kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya yang dapat membantu mempercepatkan proses rundingan dan dapat mengurangkan jumlah kos berbanding yang diluluskan pada 2016,” katanya.
Pada 6 Dis, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan persekutuan baharu akan meneruskan projek itu walaupun terdapat perubahan pentadbiran selepas pilihan raya umum 19 Nov.
Rangkaian rel sepanjang 665km itu, yang merangkumi 59 terowong, akan merentasi empat negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Loke merupakan menteri pengangkutan dari Mei 2018 hingga Feb 2020 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan PH telah menghentikan seketika projek ECRL apabila ia mula berkuasa pada 2018, selepas pembinaan bermula pada Ogos 2017. Ia disambung semula pada 2019.
Ketika kempen pilihan raya baru-baru ini, Loke telah berjanji bahawa projek itu tidak akan dibatalkan jika PH membentuk kerajaan.