
Menurut Berita Harian, pasukan mencari dan menyelamat bagaimanapun masih belum mengenal pasti anggaran umur jasad lelaki dewasa terbabit.
Penemuan itu sekali gus menjadikan angka korban kini 26 orang.
Mangsa ditemui di sektor C (Riverside) yang juga lokasi mayat kanak-kanak ditemui semalam.
Terdapat tujuh lagi mangsa masih dikesan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Terdahulu, operasi itu dipergiatkan dengan jumlah anggota pasukan “sweeper” ditambah empat kali ganda kepada 28 orang, berbanding hanya tujuh orang kelmarin, masing-masing daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m menimpa tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali.