Gabung manifesto parti kerajaan, Ahli Parlimen gesa adakan rundingan

Gabung manifesto parti kerajaan, Ahli Parlimen gesa adakan rundingan

M Kula Segaran berkata ia perlu bagi mengetahui berapa banyak janji gabungan itu boleh ditunaikan segera.

M Kula Segaran dari DAP sedang berusaha untuk memastikan input PH mengenai mana-mana platform bersama yang diputuskan oleh kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran menggesa rundingan dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung langkah menggabungkan manifesto pilihan raya komponen kerajaan perpaduan.

Kula yang juga wakil DAP, berkata Majlis Presiden PH mesti membincangkan isu terbabit bagi membolehkan gabungan memahami bagaimana janji pilihan raya itu boleh ditunaikan.

Beliau membuat gesaan itu susulan keputusan Jemaah Menteri supaya ketua setiausaha Zuki Ali membentuk jawatankuasa untuk menyelesaikan bagaimana manifesto pelbagai parti dalam kerajaan boleh diterjemahkan ke dalam pelan tindakan bersama.

Kula memberitahu FMT bahawa adalah perlu untuk melihat berapa banyak janji PH boleh ditangani “secepat mungkin”.

Beliau berkata kerajaan sudah pun meneliti janji untuk mengurangkan kos sara hidup.

Awal minggu ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli berkata Putrajaya akan memilih dan menggabungkan beberapa janji yang dibuat oleh pelbagai komponen kerajaan perpaduan.

Beliau berkata rundingan pemilihan program itu akan berpandukan 18 komitmen yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pemimpin kerajaan perpaduan pada Jumaat lepas.

Antaranya ialah pembasmian kemiskinan, penyediaan peluang ekonomi yang adil kepada golongan miskin, peningkatan pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan, dan perlindungan untuk kebebasan berhimpun dan bersuara.

Ketua Umno Johor Hasni Mohammad turut mengulas isu itu, sambil berkata kerajaan harus menghasilkan rangka kerja yang menyenaraikan keutamaannya dan menghasilkan pelan tindakan dasar.

Menurutnya, kerajaan mesti memutuskan program ekonomi dan sosial yang memerlukan perhatian segera dan bagaimana ia akan membiayai inisiatif yang digariskan dalam pelbagai manifesto.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.