Operasi SAR ditangguh akibat hujan lebat

Operasi SAR ditangguh akibat hujan lebat

Polis tidak menolak SAR akan disambung semula pada bila-bila masa, selepas keadaan bertambah baik.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 5.30 petang tadi atas faktor keselamatan anggota penyelamat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan bagi mengesan mangsa terakhir ditangguhkan sementara akibat hujan lebat di lokasi pencarian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah memberitahu Bernama, ia ditangguhkan pada 5.30 petang tadi atas faktor keselamatan anggota penyelamat.

Beliau tidak menolak SAR akan disambung semula pada bila-bila masa, selepas keadaan bertambah baik.

Tinjauan Bernama di pos kawasan tempat kejadian (PKTK) setakat 5.55 petang tadi mendapati hujan masih lebat dan keadaan berkabus di kawasan sekitar, manakala anggota penyelamat yang terlibat SAR berlindung di pos kawalan bomba bagi menunggu cuaca reda.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kerja penggalian ulangan SAR kini melebihi 70%.

Katanya, operasi hari ini memfokuskan penggalian di sektor C (Riverside) bagi mengesan mangsa terakhir.

“Kekuatan keanggotaan pasukan SAR hari ini sebanyak 91 orang dan dibantu sembilan unit anjing pengesan (K9), selain sembilan unit excavator,” katanya kepada Bernama.

Pencarian mangsa hilang terakhir yang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki dimulakan kira-kira 8 pagi tadi.

Seramai 61 orang selamat dalam tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas, manakala 30 nyawa terkorban daripada keseluruhan 92 mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.