Banjir: 27,736 mangsa di 153 PPS

Banjir: 27,736 mangsa di 153 PPS

Kira-kira 8,666 keluarga masih ditempatkan di 153 pusat pemindahan sementara di Sabah, Sarawak, Perak, Terengganu, Kelantan, dan Johor.

(Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seramai 27,736 orang melibatkan 8,666 keluarga masih ditempatkan di 153 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri yang masih mengalami banjir iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Terengganu, Kelantan, dan Johor, setakat 2 petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata semua PPS di Selangor dan Pahang ditutup.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan luruan kedua monsun dijangka berterusan hingga 27 Dis ini dan Amaran Hujan Berterusan Siri Ke-7 dikeluarkan 14 Dis lepas masih berkuat kuasa bermula 17 Dis.

“Tiga amaran ribut petir dikeluarkan di Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu Armizan melawat berkata fenomena air pasang besar dan angin kencang yang berlaku sejak dua hari lepas mengakibatkan tiga rumah atas air roboh dan 27 rumah mengalami kerosakan di Tanjung Aru Baru, Sabah.

Beliau berkata 674 orang daripada 164 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di Sabah akibat banjir dan air pasang besar, iaitu di daerah Kota Belud, Pitas, dan Kota Kinabalu.

Di Sarawak, empat daerah iaitu Betong, Kuching, Samarahan, dan Serian terjejas banjir dengan 17 PPS dibuka, melibatkan 1,150 mangsa daripada 298 keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.