
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata perkara itu telah lama diperjuangkan dan langkah itu signifikan dalam merealisasi tuntuan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Terima kasih perdana menteri kerana inilah kita perjuangkan untuk memastikan bahawa hak kita dalam MA63 dapat ditunaikan. Kerajaan perpaduan menunjukkan kesediaan untuk menyerahkan hak kita iaitu kepada Sabah dan Sarawak,” katanya, kepada pemberita selepas rumah terbuka Krismas di Likas.
Hajiji pada 21 Dis berkata DUN Sabah akan bersidang bagi meluluskan dan mewartakan rang undang-undang Negeri bagi bekalan gas.
Katanya, Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha menghormati MA63.