Saya akan bertemu Fadhlina secara berkala, kata Maszlee

Saya akan bertemu Fadhlina secara berkala, kata Maszlee

Bekas menteri pendidikan itu berkata, pertemuan itu bagi menyampaikan suara dan isi hati ibubapa dan warga pendidik berkaitan isu pendidikan.

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik bergambar bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya. (Gambar Facebook Maszlee Malik)
PETALING JAYA:
Maszlee Malik akan mengadakan pertemuan berkala bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi menyampaikan suara dan isi hati ibubapa, warga pendidik dan pemegang taruh berkaitan isu pendidikan.

Bekas menteri pendidikan itu berkata, suara-suara yang akan disampaikan itu turut melibatkan pekerja tadbir, warga kerja pendidikan, pengusaha-pengusaha kantin, NGO dan kesatuan guru.

Maszlee turut memuat naik gambar pertemuannya bersama Fadhlina di Putrajaya hari ini di Facebook .

“Banyak memori yang terpahat di bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini. Insha-Allah kita bangunkan memori yang lebih indah di masa hadapan bersama sebagai satu pasukan demi warga dan nusa tercinta,” katanya.

Maszlee turut yakin Fadhlina akan memperjuangkan agenda pendidikan anak bangsa tanpa diskriminasi.

“Bagi para pendidik, insha-Allah (Fadhlina) akan muncul dengan pelbagai inisiatif untuk mengangkat kembali martabat dan kedudukan para pendidik serta meringankan beban yang tidak sepatutnya digalas oleh para guru selama dua tahun semenjak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lalu,” katanya.

Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Jan 2020.

Beliau adalah bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam selepas gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.