Tambang penerbangan naik menjelang Tahun Baharu Cina

Tambang penerbangan naik menjelang Tahun Baharu Cina

Semakan mendapati harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching meningkat menjelang sambutan itu.

Mereka yang balik kampung ke Sabah dan Sarawak dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal untuk menikmati harga tambang lebih murah.
PETALING JAYA:
Pengguna penerbangan awam dijangka membayar tambang lebih mahal menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Sambutan itu jatuh pada 22 dan 23 Jan ini.

Semakan FMT menunjukkan tambang penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu disediakan AirAsia meningkat antara RM133 dan RM397 bagi pengguna yang melakukan perjalanan bermula 8 hingga 14 Jan, selain kepada antara RM133 dan RM631 bagi penerbangan dari 15 hingga 21 Jan.

Tambang penerbangan ekonomi sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching juga bertambah antara RM106 dan RM296, dari 8 hingga 14 Jan, selain RM155 dan RM436 bagi penerbangan bermula 15 hingga 21 Jan.

Tambang penerbangan Malaysia Airline (MAS) dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu juga meningkat antara RM322 dan RM498 bagi 8 hingga 14 Jan, selain antara RM322 dan RM740 bagi perjalanan 15 hingga 21 Jan.

Tambang ekonomi sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching juga melonjak antara RM106 dan RM1,857 dari 8 hingga 14 Jan, selain antara RM200 dan RM2,204 bagi perjalanan 15 hingga 21 Jan.

Jurucakap MAS memberitahu FMT, berkata seperti juga syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, mereka menggunakan amalan penetapan harga dinamik dan menggalakkan pengembara yang sensitif terhadap harga tiket supaya merancang perjalanan mereka demi menikmati harga lebih baik.

“Faktor muatan kami juga menggalakkan apabila mencapai lebih 65% bagi dua sektor (KL-Kota Kinabalu dan KL-Kuching), selain majoriti penumpang menempah tiket mereka pada awal promosi,” katanya.

“Kami baharu sahaja menamatkan jualan akhir tahun menawarkan 35% diskaun di beberapa sektor perjalanan sehingga 31 Ogos 2023.”

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga dijangka membayar harga tiket penerbangan lebih mahal memandangkan tambang ekonomi antara republik itu ke Kuala Lumpur berjumlah antara SD77 hingga SD749, bagi perjalanan 15 dan 21 Jan, meningkat berbanding SD66 dan SD281 sebelum ini, menurut Straits Times.

Bagi tiket bas, semakan FMT di Easybook.com, mendapati harga tambang dari Lembah Klang ke Johor tidak berubah, bermula dari RM30 hingga RM110.

Tambang bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Pulau Pinang juga masih tersedia, antara RM30 dan RM55.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Ashfar Ali, berkata tiada peningkatan harga bagi tambang bas ekspres pada musim perayaan kerana harga tiket dikawal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.