
Isteri Fawad, Syeda berkata dia juga merayu kepada orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mencarinya.
“Saya melalui saat yang getir dalam kehidupan. Saya mohon bantuan daripada perdana menteri untuk mencari suami.
“Saya risau mengenai dirinya. Jadi, tolonglah bantu saya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Fawad, yang hidup dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun untuk melarikan diri daripada dikenakan tindakan di Pakistan, hilang sejak 23 Ogos.
Syeda berkata, tekanan dihadapi untuk mencari suaminya menjejaskan fizikal dan mentalnya sehingga menyebabkannya mengalami keguguran.
“Sebelum suami hilang, saya disahkan hamil dan kami amat gembira untuk memulakan sebuah keluarga,” katanya. “Namun saya mula mengalami serangan panik dan darah tinggi, sehingga kandungan gugur.”
Bimbang dengan kesan dihadapi di negara asalnya, Syeda berkata dia tidak pasti akibatnya apabila bercakap kepada media. “Tetapi saya akan berjuang untuk suami saya sehingga nafas terakhir,” katanya.
Pada Rabu, Syeda berkata dia diberitahu oleh seorang pegawai imigresen bahawa Fawad dikehendaki kerana jenayah di Pakistan.
Fawad, 41, yang memegang kad pelarian UNHCR meminta perlindungan suaka politik daripada jabatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan di Pakistan berhubung artikelnya di beberapa akhbar berbahasa Inggeris berkaitan rasuah dalam kerajaan.
Peguam Karthigesan Shanmugam, yang turut berada pada sidang media itu, berkata sebaik sahaja Syeda menggunakan semua pilihan yang ada untuk mencari Fawad, pasukan undang-undang akan membantu dan mendapatkan bantuan kehakiman.
Beliau berkata, mereka akan ke mahkamah jika dibiarkan tanpa pilihan.
Terdapat kenyataan bercanggah mengenai keberadaan Fawad, dengan sumber Kementerian Luar mendakwa semalam dia masih berada di Malaysia.