
PETALING JAYA: Dua syarikat yang menjadi kontroversi berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL memberi amaran untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan “maklumat palsu dan fitnah”.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKL) dan Hydroshoppe Sdn Bhd berkata, kedua-dua syarikat itu memandang serius penyebaran maklumat itu di media sosial.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat di mana kami akan menuntut kerugian dan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
MKL dan Hydroshoppe juga berkata, mereka akan berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk untuk menjelaskan isu tersebut.
“Kami menekankan bahawa segala urusan berkenaan MKL dilakukan dengan telus dan menerusi prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Syarikat itu juga menggesa pengguna media sosial berhenti berkongsi dan menyebarkan maklumat palsu dan membuat kenyataan fitnah serta spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi kedua-dua syarikat itu.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai pengambilalihan MKL, yang menguruskan menara itu, oleh Hydroshoppe, termasuk kurangnya hebahan awam.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan meneliti pengambilalihan itu manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pula membuka siasatan mengenai perjanjian tersebut.
Bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa menafikan terbabit dalam meluluskan tender konsesi pengurusan dan operasi baharu Menara Kl.
Bangunan menara itu dimiliki oleh kerajaan manakala operasi dan pengurusannya diserahkan kepada MKL, sebuah anak syarikat Telekom Malaysia, sejak 1996.